PENILAIAN TUHAN TERHADAP MANUSIA

•3 November 2008 • Leave a Comment

Untuk menjadi orang yang berilmu dan pandai mudah
Bertanggungjawab dengan ilmu tidak semudah
Hanya orang yang takutkan Tuhan sahaja yang boleh
Menjadi orang yang kaya pun tidak susah, berkorban dengan kekayaan tidak mudah
Biasanya apabila kaya jadi megah, sombong pun datang, bakhil pun menyerang
Untuk mencari kemegahan secara dunia mudah
menjadi orang Tuhan tidak semudah
Orang Tuhan, dia beribadah, berakhlak, berkorban, berkasih sayang,
pemurah, merendah diri, pemaaf, berkhidmat
Mencari nama dan glamor secara dunia ramai yang boleh, kerana ramai penyokongnya
Tapi ada orang dia patut diberi nama, sebaliknya dihina
kerana dia beragama banyak pihak tidak suka
Oleh itu di dunia ini tidak boleh menjadi ukuran menilainya
Ada orang baik dianggap jahat kerana dia orang Tuhan
ada orang jahat dianggap baik kerana dia disukai kerajaan
Penilaian yang sebenarnya di Akhirat, tepat
Yang akan patut dibela akan dibela, yang akan patut dihina akan dihina
Semuanya berlaku dengan adil dan saksama
Carilah penilaian Tuhan janganlah cari penilaian insan
Apalah ertinya dapat sanjungan manusia di dunia hanya sementara
Carilah sanjungan Tuhan, ia kekal abadi di Akhirat sana
Kalau engkau dianggap oleh manusia jahat tidak mengapa, jangan Tuhan anggap
Janganlah terpesona dengan anggapan baik dari manusia, ia menipu daya
Di Akhirat kelak kecewa, tempatnya Neraka
Carilah kebaikan mengikut tanggapan Tuhan, sekalipun semua makhluk menghina
Penghinaan itu hanya sementara, tanggapan baik dari Tuhan itu sepanjang masa
Carilah redho Tuhan, jangan cari redho manusia